Pages

Selamat datang ke blog Bingkisan Nuraniku. Jangan lupa tinggalkan jejak sahabat-sahabat semua. Terima kasih kerana sudi ziarah blog Nurkasih Atieqah. Salam ukhwah.

Thursday, August 12, 2010

Derita Kahwin Muda

Assalamualaikum sahabat semua. Hari ini Tiqah nak kongsi dengan anda semua apa yang Tiqah baca di dalam Berita Harian Online hari ini. Jom sama-sama kita baca cerita insan yang bernama Zana ini. Dan apa pula kata Dr. Rubiah mengenai masalah ini. Bagi sesipa yang belum berumah tangga seperti Tiqah ni atau pun yang dalam perancangan ingin berumah tangga. Jom sama-sama kita selami dan ambil pengajaran. Insyaallah.

Derita kahwin muda
Bersama Dr Rubiah K Hamzah

10/03/2010
Mahu akhiri perkahwinan selepas tidak bahagia di samping suami pilihan keluarga

SAYA berkahwin kerana ibu bapa menyukai lelaki ini yang sudah pun bergelar suami saya. Kalau ikutkan hati saya masih tidak mahu berkahwin. Saya baru berumur 23 tahun dan masih belum habis belajar. Selepas kahwin, saya sering bergaduh biarpun usia perkahwinan kami sudah mencecah enam bulan. Saya berasakan perkahwinan ini satu paksaan dan tidak ikhlas dalam perhubungan ini. Saya ingin keluar daripada ikatan ini dan memulakan hidup baru. Namun saya tidak tahu bagaimana perasaan ibu dan bapa. Silap saya kerana tidak berterus terang sebelum berkahwin dulu. Apa harus saya lakukan?

ZANA.


Zana, keadaan anda sekarang ibarat ‘ditelan mati emak dan diluah mati bapa.’ Ini kerana perkahwinan yang dilayari dibangunkan atas asas yang tidak jelas dan tidak ikhlas.
Inilah akibatnya daripada sikap anda yang tidak ikhlas dengan ibu bapa anda terhadap cadangan untuk berkahwin. Keputusan yang anda buat adalah berdasarkan ‘cuba dan tengok.’ Kini anda benar-benar terperangkap dengan jerat yang anda pasang sendiri yang berpunca anda tidak berterus terang dengan mereka.

Kini anda baru merasai bahawa membuat pendirian dan keputusan apa pun tentang diri anda adalah anda sendiri. Sebelum berkahwin anda menyerahkan keputusan ini pada ibu bapa dengan alasan mahu menjaga hati ibu bapa. Pendirian ini harus anda pegang sebagai modal kehidupan anda kerana perkahwinan itu adalah hadiah dari Allah kepada ibu bapa untuk bertanggungjawab kepada anak sebagai orang tua kepada anaknya.
Jika perkahwinan itu dilaksanakan kerana ibu bapa menjalankan tugas kepada Allah SWT, maka anda sebagai anak harus pula memainkan peranan sebagai hamba Allah yang ditemukan jodoh dengan suami oleh Allah SWT dan dilaksanakan dengan restu kedua orang tua anda. Ini prasyarat asas perkahwinan. Selebihnya adalah atas kebijaksanaan anda dan suami melayari bahtera perkahwinan itu.


Apa yang terjadi pada anda ialah anda sudah terlalu cepat berputus asa untuk menjadi isteri yang mampu menerima suami anugerah Allah seadanya. Anda melayan perasaan anda lebih daripada melayan perasaan suami dan perasaan ibu bapanya dan perasaan ibu bapa anda sendiri yang sudah bersusah payah mengurus kehidupan anda dan mengurus perkahwinan itu.

Punca masalah ini ialah anda belum mampu mencintai diri anda sebagai hamba Allah SWT dan anak yang soleh dan menantu yang menyenangkan di mata mentua. Anda tidak akan mampu mencintai sesiapa pun di dunia ini jika anda belum mampu menghargai diri anda sendiri. Jika perpisahan yang anda impikan, belum tentu anda akan diceraikan sebegitu mudah oleh suami yang sedang belajar menyayangi anda dan atas dasar menjaga maruah sebagai suami yang menjadi pemegang amanah Allah SWT sebagai suami dan atas dasar menjaga hati kedua orang tua kedua–dua belah pihak.

Nasihat Umi, melukakan mudah tapi mendapat keampunan sememangnya amat sulit. Cinta yang anda cari tidak ada pada manusia, ia ada di tangan Allah dan atas izin Allah anda diberikan rasa cinta itu. Jadinya untuk merasai nikmatnya cinta dalam hidup ini tidak ada pilihan dan jalan pintas selain belajar menyerah diri secara paling tulus dan ikhlas kepada Allah SWT.

Menangislah dengan Allah agar anda diberikan hati yang mampu mencintai makhluk-Nya. Jika anda tidak mampu mencintai makhluk Allah maknanya anda sangat sombong dengan Allah dan belum mencintai Allah SWT, malah hubungan dengan Allah sangat nipis. Akibat sikap tersebut anda tidak akan bertemu dengan cinta yang anda idamkan. Lagipun anda harus berfikir bahawa anda adalah hamba Allah dan setiap saat diperhati Allah SWT, rasakanlah ini, kerana selagi anda tidak merasa bahawa perhatian Allah jauh lebih dekat dari perhatian manusia maka ada akan terus melakukan apa saja secara tidak ikhlas.

Perbuatan baik sebesar mana pun dilakukan jika tidak ikhlas akan jadi debu tanpa keberkatan sebesar zarah pun kepada pelakunya. Jika anda memikirkan yang anda masih muda, masih mahu berseronok-seronok dengan kehidupan muda anda, sekarang sedarlah yang anda sudah berjawatan isteri, satu-satunya jawatan yang dijamin Allah ke syurga jika dipegang dan dilaksanakan dengan penuh ikhlas kerana Allah SWT.

Jika jawatan ini dilepaskan, anda tidak lagi sama, anda sudah janda statusnya dan layanan orang pada anda tidak lagi sama seperti sebelum berkahwin. Apatah lagi jika anda yang memaksakan perpisahan dalam perkahwinan hanya disebabkan tidak mencintai suami yang bukan pilihan anda, pasti akan melukakan hati semua keluarga kedua-dua belah pihak. Dan, mungkin kesalahan anda tidak mudah dimaafkan seumur hidup kerana mereka rasa terhina, tersinggung dan malu dengan sikap dan tindakan anda.

Langkah terbaik belajarlah menyukai apa yang di hadapan mata dengan penuh ikhlas, melayannya sebagai satu ibadat bukan bebanan dan mengharapkan balasan dari Allah SWT bukan dari manusia. Jika orang tidak ada anak, mampu berdoa kepada Allah dan dimakbulkan Allah dan diberikan anak, mana mungkin anda yang belum tumbuh kasih rasa kasih sayang kemudian memohon dari Nya, pasti akan di hadiahkan cinta tersebut di hati anda dan suami.

Yakinlah bahawa Allah itu sangat penyayang kepada hamba-Nya, maka seluruh bekal kasih sayang itu adalah di genggaman Allah dan sedia diberikan kepada sesiapa saja yang meminta kepadanya. Allah SWT tidak pernah menolak doa hambanya. Oleh itu bangunkan cinta pada Allah SWT dulu, pasti cinta itu akan melimpah di hati manusia yang cintakan Allah dan melakukan semua tanggungjawab yang di amanahkan kepada-Nya dengan penuh insaf bahawa kita akan dinilai Allah SWT dan akan ditanya apa bekal yang anda bawa untuk bertemunya?

Jawablah bekalan saya ialah mencintai Allah SWT pada setiap masa dan melakukan semua tanggungjawab dan urusan kerana Allah untuk mendapat redanya Allah SWT dan syurga Allah di dunia dan syurga Allah di akhirat. Bayangkan yang positif dalam hidup ini, anda akan dibayar tunai semua yang baik dan positif juga. Ingatlah, siapa menyemai derita akan menuai sengsara, siapa menyemai cinta akan menuai syurga. Akhir sekali belajarlah jadi hamba Tuhan, kamu akan bertemu syurga dan bahagia bukan hamba syaitan, yang mengajak kamu mendekat ke neraka sengsara. Terima pemberian Allah SWT seikhlasnya.

1 comment:

Abuuwais said...

Respon yg sangat baik sekali.

walaupun zana pasti tidak membacanya..Saya beranggapan bahawa masalah bahagia bukan pada usia dan bukan pada yg cintai-mencintai. Kalau zana berazam ingin memulakan hidup baru...Soalan saya adakah anda boleh memastikan yg anda akan menemui bahagia yg anda maksudkan. Hakikat bahagia itu bukannya berada pada orang lain atau pada diri kita yg menentukan...tetapi pada ALLAH yg memberi.

kalau kita beranggapan ingin membetulkan kesilapan dengan melakukan kesilapan keli kedua (berpisah-kahwin dgn org yg kita cinta) sebenarnya kita telah melakukan kesilapan. Silap memahami dan menilai manusia,kehidupan dan diri kita sendiri. belajarlah berfikir diluar kotak. Belajarlah mencintai setiap apa yg mampiri kita, dan belajarlah memahami cinta kerana Allah.
"Sebenarnya kebahagiaan ada dalam lipatan hati kita sendiri yg belum pernah terungkapan"